Friday, October 15, 2010

Kematian: Bersediakah kita?


Ibadah,




Di mana sahaja kamu berada, maut pasti akan mendatangi kamu sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang kukuh.
 (Surah al-Nisa’: 78)

Katakanlah, Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa  yang telah kamu kerjakan.
 (Surat al-Jumu'a: 8)

Kematian sesuatu yang pasti. Ianya datang menjemput kita apabila tiba masanya tanpa mengira sesorang itu kaya ataupun miskin, tua ataupun muda, mulia ataupun hina, berkuasa ataupun rakyat biasa. Itulah sistem tuhan yang Qadim yang tidak boleh dilawan oleh kehendak dan kepandaian manusia samada yang beriman mahupun tidak beriman. Semuanya akan kembali kepangkuanNya yang Maha Esa yang pergi tidak akan kembali buat selama-lamanya. Bagi insan yang beriman, kematian bukanlah penghujung bagi sesebuah hayat tetapi ia adalah permulaan kehidupan baru iaitu kehidupan akhirat.

Tidak kira sama ada kita cantik atau kaya, badan kita yang kaku akan terbaring di dalam bilik atau di bilik mayat. Dibaluti dengan kain kafan, badan kita akan diletakkan di dalam keranda yang sempit. Kereta jenazah akan membawa badan kita ke tanah perkuburan di mana mayat kita akan ditempatkan di dalam liang lahad. Tanah akan menutupi kita. Badan kita, yang tinggal tulang dan daging akan mula reput dan  menjadi busuk. Akhirnya, tiada apa yang tinggal kecuali tulang-tulang. Jangan sesekali lupa bahawa kita akan menemui hari itu, akhirnya badan kita akan keseorangan di bawah tanah.

Bila maut datang, terpaksalah mereka meninggalkan dunia yang fana ini, tinggallah harta kekayaan mereka, tinggallah segala anak kesayangan mereka dan tinggallah ayah dan ibu, isteri/suami yang dicintai serta kaum keluarga kesemuanya. Tiada apa yang mereka bawa ketika itu, selain amal ibadah selama di dunia. Rugilah mereka yang membawa amalan jahat dan beruntunglah orang-orang yang membawa amal kebajikan bersama, dikala mereka menempuh alam barzakh, ketika telah terbaring seorang diri, berkatil, berbantal, bertirai dan kelambukan tanah semata-mata.

Sabda Nabi:

Apabila mati seorang anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah yang berterusan, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.
 (Riwayat Bukhari)

Firman Allah:

Hingga bila datang maut kepada salah seorang dari mereka, lalu berkata: Tuhanku! Kembalikan aku untuk beramal kebaikan dengan harta yang saya tinggalkan itu. Tidak, tidak mungkin, sebab kalimat itu hanya mereka katakana saja (tidak akan dilaksanakan). Dan di belakang mereka itu, tempat barzakh hingga hari kebangkitannya.

Tanggungjawab yang hidup

Bagi mereka yang dicabut rohnya ataupun telah mati, jasadnya sudah tiada daya dan ikhtiar lagi, yang kalau dibiarkan ianya sudah tentu akan reput dan dimakan ulat begitu sahaja. Oleh itu Islam memberi garis panduan yang lengkap kepada waris simati untuk mengurus simati atau jenazah, bermula dari saat selepas kematian sehinggalah ke peringkat perkebumian. Dengan itu, menjadi tanggungjawab kepada waris si mati mengurus dan menyelenggara jenazah simati sebaik-baiknya kerana si mati akan berada di suatu tempat yang disebut Alam Barzakh untuk di soal oleh Allah tentang amal perbuatannya semasa hidup.

Adapun soal-soal yang bersangkutan dengan jenazah itu ada empat, iaitu dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikuburkan. Keempat-empat perkara ini adalah ‘Fardhu Kifayah’ hukumnya bagi umat Islam, apabila yang mati itu orang yang beragama islam. Bila pekerjaan itu ditinggalkan berdosalah semua orang islam di negeri itu tetapi bila ada di antara mereka yang mengerjakannya, maka sekalian umat islam di negeri itu terlepas dari dosa.

Video demonstrasi pengurusan jenazah semasa penulis mengadiri kursus yang dianjurkan oleh Jheains Tawau: (Sila klik ke link berikut)

Pengurusan Jenazah clip 1 of 4, 
Pengurusan Jenazah clip 2 of 4,
Pengurusan Jenazah clip 3 of 4, 
Pengurusan Jenazah clip 4 of 4, 

Serba ringkas berkaitan tentang menguburkan jenazah:

1)      Sunat menggali kubur sedalam atau setinggi ukuran berdiri dan lebihkan sehasta.

2)      Menggali kubur secara liang lahad adalah lebih afdal.

3)      Orang yang ‘aula” (utama) menanam iala orang yang lebih “aula” menyembahyangkannya.

4)      Afdal orang yang mengebumikan jenazah itu secara ganjil, seperti satu, tiga atau lima orang yang membantu.

5)      Sunnat menutup dengan kain semasa mengebumikan jenazah.

6)      Wajib meletakan jenazah itu hsl keadaannya menghadap ke kiblat.

7)      Sunat ditaruh bantal (batu, tanah atau sebagainya) untuk pembaringan jenazah itu dan dibukakan kain di sebelah pipinya dan sendalkan di belakangnya supaya ia tidak kembali menelentang.

8)      Makruh menanam jenazah dengan kerandanya sekali.

9)      Sunat tutup jenazah itu dengan sebarang penutup supaya apabila ditimbus jenazah itu tidak ditimpa oleh tanah.

10)   Sunat meniggikan sedikit kubur itu sekadar sejengkal dan jangan lebih daripada itu kerana yang demikian itu adalah ditegah oleh syarak.

11)   Hendaklah tidak mengambil tanah yang lain selain tanah yang dikeluarkan dari kubur itu.

12)   Sunat meletakkan anak batu dan menyiram air di atas kubur. Makruh menggunakan air mawar atau benda wangi kerana yang demikian adalah pembaziran.

13)   Sunat meletakkan batu tanda di kepala dan kaki, tetapi tidak dengan cara berlebih-lebihan atau membazir.

14)   Makruh menulis nama-nama si mati pada tanda batu atau batu nisan itu.

15)   Membuat binaan yang kekal di atas kubur adalah haram, tetapi makruh membinanya dengan kapur atau tanah kerana ia hanya merupakan sementara sahaja.

16)   Makruh mengatapkan kubur itu, tetapi haram sekiranya tanah itu tanah wakaf.

Pengurusan jenazah: Antara Adat dan Syariat
(Ini merupakan petikan dari pembentangan kertas kerja semasa penulis menghadiri kursus pengurusan jenazah yang di anjurkan oleh Jheains Tawau)

Dan janganlah kamu mengatakan (dan menetapkan) sesuatu yang kamu tidak tahu. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati akan dipertanggungjawabkan. 
(Surah Al-Israh: 36)

Huraian,

Agama islam adalah agama yang sangat lengkap, peraturan dan tatacaranya sempurna malah dicontohkan sendiri oleh Rasullulah SAW dan para sahabatnya serta dihuraikan melalui tulisan para ulama di dalam kitab mereka.

Namun, ada kalanya kita terjumpa segelintir umat islam yang tidak memahaminya, lalu beramal menurut akal semata atau mereka-reka sesuatu dan mencampur adukan dengan peraturan agama yang benar. Sebahagiannya pula mngambil dari agama yang lain dan bercampur pula dengan perkara khurafat yang bertentangan dengan islam.

Demikianlah juga berkenaan urusan penyelengagaraan jenazah. Sebenarnya, ia telah lengkap dan tidak perlu ditokok tambah lagi. Islam telah pun mengaturnya sejak dari menghadapi kematian sehinggalah selesai pengkembumiannya.

Beberapa adat dalam pengurusan jenazah: (tulisan condong & tebal adalah apa yang dianjurkan islam)

1)      Meletakkan cermin di atas perut jenazak kononya menghalang makhluk halus dari mengganggu jenazah. Anjuran Islam ialah meletakkan sesuatu yang agak berat di atas perut jenazah supaya menghalangnya daripada masuk angin dan benda tidak semestinya cermin.

2)      Orang yang memandikan jenazah mesti mengetahui nama-nama tertentu untuk memandikan jenazah seperti nama air, gayung dan lain-lain. Islam tidak meletakkan syarat begitu kerana ianya boleh menimbulkan pembohongan kerana menyebut yang bukan sebenar.

3)      Adanya doa atau bacaan tertentu yang kononnya untuk meminta izin kepada jenazah supaya boleh dimandikan. Tugas memandikan adalah kewajiban orang yang hidup dan kita tidak tahu lagi berkenaan persetujuan si mati.

4)      Menambah-nambah bahan yang digunakan untuk memandikan jenazah seperti santan kelapa, daun limau purut, garam, asam dan sebagainya. Ketetapan agama hanyalah air bersih, air bercampur daun bidara dan air bercampur sedikit kapur barus.

5)      Menyorok di bawah keranda jenazah yang akan dibawa ke kuburan supaya kita tidak teringat dengan jenazah itu. Mengingati dan mendoakan jenazah amat dituntut. Bahkan sunat bagi orang yang merasa dirinya akan mati supaya berwasiat kiranya ia tidak dilupakan nanti.

6)      Menyertakan tulisan-tulisan seperti kalimah tauhid ke dalam keranda ketika mengkebumikan jenazah. Ini bertentangan dengan syariat kerana ayat-ayat mulia terkena najis ketika mayat telah rosak di dalam kubur.

7)      berjaga malam di rumah keluarga jenazah dan melakukan perkara yang dilarang oleh agama seperti berjudi. Kita boleh berhimpun di rumah keluarga jenazah dengan tujuan memberi takziah atau membacakan doa.

8)      Menyediakan tilam bantal dan lain-lain khusus kepada orang yang mentalkinkan mayat.

9)      Menaburkan wang syiling di atas kubur setelah jenazah dikebumikan.



Nota: kertas kerja ini telah di sediakan oleh Ust Hj Muchlish Ali Kasim, Dan dikeluarkan oleh Syukbah Dakwah dan pendidikan, Masjid negeri Sabah.

Hakikat agama ini adalah terbahagi kepada dua perkara pokok iaitu;
 a. Tidak mengabdikan diri melainkan Allah,
 b. Mengabdikan diri mengikut apa yang telah disyariatkan

Sekiranya berlaku penambahan dan pengurangan di dalam permasalahan ibadah, maka setiap perlakuan tersebut dikira sesat kerana Allah sahaja yang layak mengubal atau memutuskan syariat yang telah diturunkan. Ibn Taimiyyah pernah menyebut bahawa “tindakan seseorang hamba samada dari segi perkataan atau perbuatannya adalah berkaitan dengan Ibadat yang ada hubungkait dengan agama (al-Din) dan adat yang diperlukan untuk kepentingan hidup mereka. Setiap perkara yang berkaitan dengan persoalan ibadat samada yang difardukan atau yang digalakkan oleh Allah, tidak diwahyukan melainkan melalui utusan rasulNya tanpa ada penambahan dan pengurangan” Imam Ahmad juga menyebut bahawa “Asal sesuatu Ibadah itu adalah berbentuk ‘Tauqif’(terhenti). Tidak boleh melakukan sesuatu ibadah itu, melainkan mengikut setiap perkara yang disyariatkan oleh Allah. Jika perkara tersebut dilakukan tanpa mengikut syariat Allah seseorang itu akan termasuk di dalam golongan yang disifatkan oleh Allah dalam firmannya yang bermaksud;

“Apakah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang mengadakan syariat untuk mereka daripada gama yang tidak diizinkan oleh Allah”.
 (Surah As-Syura : 21)

"Sesungguhnya mereka hanya mengikut hawa nafsu mereka dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsu tanpa berdasarkan hidayah pertunjuk daripada Allah"
 (Surah al-Qasas : 50)

Sekian,

 Kursus Sehari Pengurusan Jenazah
Anjuran bersama,
AJK Masjid Baiturrahman Tawau &
Unit Dakwah JHEAINS Tawau
10 Oktober 2010 / 2 Zulkaedah 1431H 
 


AMARAN BUAT PEMBACA YANG DIHORMATI DAN DI RAHMATI SELALU

Segala bahan bacaan dan rujukan didalam blog ini adalah semata bacaan, dan apabila timbul kesangsian dan ketidakfahaman dalam membaca isinya, sila rujuk dikalangan ahlinya atau pun mursyid yang diiktiraf. Janganlah memahami sesuatu perkara dalam ilmu dengan memahami dengan akal fikiran sendiri, jika begitu anda tidak akan sampai kepada pemahamannya. Apabila tidak faham, mulalah ia menjadi fitnah yang berat.

Segala bahan bacaan disini adalah untuk umum dan HAK CIPTA ITU MILIK ALLAH SEMUANYA. Anda boleh ambil sebagai bahan rujukan ataupun bahan posting di blog-blog atau website anda TANPA PERLU MEMBERI SEBARANG KREDIT KEPADA BLOG INI.

Sekiranya ada salah dan silap haraplah perbetulkan kerana penulis juga insan biasa yang tidak lari dari kesilapan. Semoga bermanfaat.

Jazakallah .....

Rujukan:
 1)   Panduan Fardu Ain, Ustaz Dato’ Hj Ismail Kamus.
 2)  Laporan penyelidikan AMALAN BID’AH DALAM PENGURUSAN DAN PENYELENGGARAAN JENAZAH (2003), oleh Penyelidik dari sekolah Pembangunan Sosial UUM.
 3) Kertas kerja Pengurusan Jenazah , Diantara Adat Dan Syariat, Ustaz Hj Muchlish Ali Kasim.

No comments:

Post a Comment