Tuesday, October 26, 2010

Jahui Marah Dekati Sabar

Kisah Teladan,

Bismillahirrahmanirrahim,

Pernah ditanya kepada Ahnaf bin Qais, bagaimana dia boleh mengekalkan sifatnya yang lemah-lembut itu. Ahnaf menjawab: "Aku belajar daripada Qais bin Asim. Pada suatu hari, ketika dia sedang berehat-rehat, masuklah hambanya membawa panggang besi yang berisi daging panggang yang masih panas.

"Belum sempat daging itu diletakkan di hadapan Qais, tanpa sengaja besi pemanggang yang masih panas itu jatuh terkena anak kecil Qais. Maka menangis dan menjerit-jeritlah si anak kecil itu kerana menanggung kesakitan dan kepanasan yang teramat. Hingga dengan izin Allah, anak kecil itu meninggal dunia. Qais, si bapa kepada anak kecil tadi, melihat peristiwa itu dengan tenang.

"Kemudian dia berkata kepada hambanya yang sedang pucat lesu dan kelihatan bersedia menerima hukuman kerana berasa terlalu bersalah. Katanya, 'Aku bukan sahaja tidak marah kepada kamu, bahkan mulai hari ini, aku akan membebaskan kamu.'

"Begitulah betapa sopan santun dan pemaafnya Qais bin Asim," kata Ahnaf mengakhiri ceritanya.

Ini tidak bermakna Qais tidak menyayangi anaknya tetapi Qais memandang segala kejadian yang berlaku itu adalah aturan daripada Allah. Jikalau dia bertindak memarahi hambanya, maka hakikatnya dia memarahi Allah. Jika dia reda dengan ujian yang ditimpakan kepadanya bermakna dia reda dengan Allah dan itulah sifat mukmin yang sepatutnya ditonjolkan.

Tidak ada di dalam kamus hidupnya perkataan "kalau" atau "barangkali". Hatinya tidak merasai dirinya "tuan" kerana apa yang ada padanya dirasakan amanah daripada Allah. Apabila sampai ketikanya Allah akan ambil kembali.

Segalanya milik Allah dan kita hanya pemilik sementara apa yang Allah pinjamkan. Rasullullah SAW bersabda bahawa jika Allah mencintai sesuatu kaum, nescaya Allah akan mengujinya dan jika mereka reda dengan Allah nescaya Allah akan meredainya. (Hadis Hassan Sahih).

Itulah nikmat jiwa yang dekat dengan Tuhannya. 

Semoga bermanfaat.

Petikan: Buku Menangani Sifat Marah (ms 64).

No comments:

Post a Comment